DATUK BAHAMAN
1.0 Asal-Usul
Dato Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam
Nuh yang berasal dari Bangkinang, Kampar, Sumatera, dan Rokiah Abdul Rahman,
anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi
Selatan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini
telah menyebabkan Bahaman digelarkan 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar
kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai
Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.
Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi
anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan
Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus
menabur bakti kepada tanah airnya.
2.0 Anugerah
Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah
seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia
Perkasa Pahlawan Semantan kerana beliau telah menunjukkan sikap serta
kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda
baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin
dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera
Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya
Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat
dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan
Ahmad.
3.0 Perang Semantan
Punca utama Perang Semantan ialah
ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke
atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A
Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di
kawasan Dato' Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh
Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau
menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato' Bahaman supaya pergi
ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato' Bahaman enggan ke
Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya
sebagai Orang Kaya Semantan.
Tindakan itu menyakitkan hati Dato'
Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang
hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau
menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu,
pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh.
Setelah mengetahui peristiwa di Semantan
itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan
pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu
pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi
yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi
pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British
sekali lagi ditewaskan.
4.0 Buruan British
Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah
memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang.
Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari
1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api
yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof,
Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan
kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu
Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda
yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat
akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah
berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah
jagaan Abdullah Bera.
Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman
berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih
hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera
terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka
dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman
terhadap Inggeris.
Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang
Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu.
Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang
untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram
Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.
Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan
Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang
Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi
di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa
Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan
tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya
perang menentang Inggeris di Pahang.
Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di
Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang
banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.
Gerakan itu dihentikan pada bulan November
1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri
kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di
Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan
meninggal di Terengganu.
Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun
(1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak.
Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi
menyelesaikan hutang tersebut.
Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’
Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu
satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah,
dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan
mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah
persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat
Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi
(Tok Janggut).
Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah
kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang
pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’
Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan
memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg.
Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah
ke Kg Aur Rompin, Tanjung Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg.
Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui
kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.
No comments:
Post a Comment